PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diminta menyenaraikan jumlah pegawai kanan perkhidmatan awam yang diletakkan ke dalam `pool’ atau peti sejuk sejak PH-BN menerajui kerajaan campuran.
Menurut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, ada Ketua Setiausaha Kementerian yang kanan difahamkan ditukar ke kementerian lain yang lebih kecil.
Katanya, tindakan kerajaan sekarang seolah-olah menjatuhkan hukuman lebih awal terhadap pegawai kanan yang berkhidmat secara profesional.
“Perkara itu didedah Pagoh semalam mengenai ramai pegawai kanan yang di `pool’ oleh kerajaan campuran sekarang.
“Jadi saya minta Perdana Menteri menyenaraikan jumlah pegawai kanan yang diletak dalam ‘peti sejuk’ sedangkan mereka berkhidmat secara profesional,” katanya sebagai pembahas pertama Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Radzi juga berharap kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin DAP Pulau Pinang, P Ramasamy kerana kenyataannya yang dianggap sebagai menghina penjawat awam.
Katanya, kenyataan yang menganggap penjawat awam sekarang sudah tepu merupakan satu penghinaan terhadap golongan berkenaan yang berkhidmat secara profesional.
Baru-baru ini, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang menyifatkan kakitangan awam yang terlalu ramai dan didominasi orang Melayu sebagai punca perkhidmatan awam menjadi lapuk atau tepu.
Pemimpin DAP terbabit juga dilaporkan mendesak supaya ‘dominasi Melayu’ dalam perkhidmatan awam dihentikan.
Sementara itu, Radzi berkata, amalan nepotisme yang ditentang hebat pemimpin PH ketika berada di saf pembangkang sebelum ini, sekarang dilanggar mereka sendiri.
Menurutnya, perkara itu juga terkandung dalam manifesto PH yang tidak mahu Perdana Menteri juga menerajui jawatan Menteri Kewangan.
“Namun apa yang berlaku sekarang, mereka sendiri langgar perjuangan sebelum ini. Sekarang Perdana Menteri menerajui Kementerian Kewangan dan mengetuai Jabatan Wilayah Persekutuan,” katanya lapor Harakahdaily.
Pada Janji 12 manifesto Pakatan Harapan ketika kempen Pilihan Raya Umum lepas menyatakan Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan kementerian lain, terutama kewangan.
Leave a Reply