MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan perbicaraan kes saman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, pada 14 ogos depan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Haslinda A. Raof mengekalkan tarikh perbicaraan berlangsung selama lima hari, ketika pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian.
Peguam, Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Mohd. Puad berkata, dalam prosiding sama, anak guamnya selaku defendan, membuat permohonan untuk meminda pernyataan pembelaan berkenaan kandungan 58.
“Perkara sama dilakukan oleh Muhyiddin selaku plaintif, untuk meminda pernyataan tuntutan berkenaan kandungan 61.
“Pendengaran bagi permohonan itu, akan dibuat pada jam 9 pagi, 11 April depan menerusi aplikasi Zoom,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Selain Shahrul Fazli, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO turut diwakili peguam, Intan Hanis Afiqah Razali, manakala Muhyiddin diwakili peguam, Tan Chee Khoon.
Berdasarkan writ saman, Muhyiddin mendakwa Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu menerbitkan satu hantaran di laman Facebook menggunakan nama ‘Dr. Puad Zarkashi’ bertajuk ‘Kuarantin pun ada dua darjat?’, pada 8 Februari tahun lalu.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendakwa, hantaran tersebut boleh diakses oleh pengguna internet seluruh dunia dan menerima 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan, hantaran pemimpin UMNO itu dengan merujuk kepada ‘PM’ yang merupakan singkatan kepada Perdana Menteri dan mengandungi kenyataan tidak benar, tidak wajar, tidak berasas, jahat serta memfitnah beliau.
Muhyiddin mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau dan rombongannya enggan menjalani kuarantin selama 10 hari selepas mereka pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia.
Leave a Reply