AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar.
Tegas beliau, PH memang ada meletakkan janji tersebut dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau mengulas usul yang dibuat oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap dirinya kerana membuat kenyataan mengelirukan berhubung janji tersebut.
“Saya nak tunjuk kepada media ini manifesto PH pengampunan hutang PTPTN bersasar ada. Ada kenyataan dibuat. Saya tidak menyalahi Dewan Rakyat. Saya tidak kata hutang PTPTN ini dihapuskan secara total tetapi saya kata memang ada.
“Saya tanya apa iltizam kerajaan. Apakah polisi kerajaan hari ini berhubung hutang PTPTN,” kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Armada Bersatu Malaysia berkata, anak muda ingin tahu mengenai polisi tersebut.
Menurut beliau, berdasarkan jawapan Rafizi, beliau yakin PH tidak ingin menunaikan janji berkenaan.
“Manifesto ini nampaknya tidak ingin dijadikan rujukan oleh mereka untuk dilunaskan janji-janji selepas menjadi kerajaan. Kalau kita imbau, banyak pihak berjanji dan orang yang paling banyak janji dengan formula adalah YB Pandan.
“Jangan kata, ini bukan kita suci lagi. Saya rasa kita sudah melepasi fasa tersebut. Apakah pendirian sebenar kerajaan. Itu saya tidak nampak,” katanya.
Rafizi hari ini berkata, beliau akan mengusulkan supaya Dewan Rakyat mengambil tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal.
Menteri Ekonomi itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa manifesto ada menjanjikan untuk menghapuskan pinjaman PTPTN.
“Mengikut peraturan 36(12) mana-mana ahli yang mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan adalah disifatkan menghina majlis, dan ahli tu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi kesalahan itu.
“YB Machang sebelum ini menyatakan bahawa dalam manifesto PH sebelum ni (ada janji) menghapuskan PTPTN. Itu satu pembohongan kerana tak ada janji tu dalam manifesto PH baru-baru ini.
“Perkara itu suatu pembohongan yang jatuh (merujuk) kepada Perkara 36 (12). Saya minta dewan ambil tindakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, lapor BeritaBersatu.
Rafizi berkata demikian ketika mencelah sewaktu sesi soalan tambahan dari Wan Ahmad Fayhsal berhubung usaha kerajaan untuk membantu golongan miskin dan isi rumah B40 dalam pembayaran pinjaman PTPTN.
Usul tersebut mendapat keizinan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor yang kemudian meminta Rafizi membuat usul tersebut secara bertulis.
Leave a Reply