SEORANG penunggang motosikal EX5 maut selepas terlanggar palang besi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya malam tadi.
Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada PPUM mengenai kejadian pada 10.13 malam.
Beliau berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa berusia 30 tahun dalam perjalanan berjumpa rakan.
“Tiba di tempat kejadian, mangsa tidak menyedari terdapat penghadang palang dan terus melanggar palang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, palang itu diletakkan bagi menghalang kenderaan luar masuk ke kawasan pembinaan pangsapuri.
Beliau difahamkan, pintu hadapan pada jalan besar hanya dibuka dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam untuk lori dan kenderaan pekerja.
“Mayat mangsa akan dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya, lapor UtusanTV.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply