Antara Menu Rahmah dan Nasi Ayam Bajet!

guane

KEBELAKANGAN ini heboh orang bercakap dan memperkatakan mengenai Menu Rahmah.

Ada mengatakan program yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 31 Januari lalu itu lebih kepada pendekatan popular Kerajaan Perpaduan.

Sedangkan ia dikatakan masih gagal menterjemahkan masalah sebenar dihadapi oleh rakyat di negara ini ketika berhadapan dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencengkam kehidupan mereka.

Sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

Ini kerana isu utama rakyat ialah berkaitan kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah di pasaran yang semakin meningkat dan gagal di kawal kerajaan.

Ramai yang bertanya sampai bilakah isu harga ayam, daging, telur, ikan dan sayur-sayuran akan selesai?

Dan bagaimanakah pula usaha dan ikhtiar kerajaan dan kementerian terbabit dalam menyelesaikan masalah tersebut?

Berdasarkan itulah, sebaik sahaja program Menu Rahmah dilancarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada peringkat awalnya ramai golongan peniaga kurang bersetuju kerana mereka mendakwa hanya meraih keuntungan yang sedikit.

Selain itu, ada juga peniaga mempersoalkan kenapa kerajaan meminta peniaga makanan menurunkan harga sebaliknya kenaikan
harga bahan mentah di pasaran dikatakan amat membebankan.

Bayangkan kalau kenaikan harga daging import sekarang mencecah kepada RM35 sekilogram, ayam.(RM10), ikan kembong (RM15), ikan selayang (RM10), tomato (RM10), harga cili merah (RM15), kubis (RM20), tomato, timun dan terung (RM10).

Ini tidak termasuk bekalan minyak masak dan telur ayam yang bukan setakat mengalami harga tidak menentu, tetapi bekalannya seringkali terputus di pasaran terutama pada musim perayaan.

Justeru para peniaga meminta kerajaan sepatutnya bertindak lebih agresif dalam mengawal harga bahan-bahan mentah terbabit dalam pasaran.

Selain itu, mereka juga mahukan tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga yang menjual barangan melebihi harga ditetapkan.

Bagi pengguna, ada yang berpendapat, antara Menu Rahmah dengan Nasi Bajet atau Nasi Ayam Bajet, mereka lebih suka memilih hidangan yang dijual secara bungkus dengan harga murah termasuk dari segi kualiti dan kuantiti khususnya di warung-warung dan gerai-gerai tepi jalan.

Apa yang penulis perhatikan sebelum program Menu Rahmah ini wujud, sudah terdapat ramai peniaga yang menjual makanan dan minuman dengan harga murah dan dikatakan tidak masuk akal sejak sekian lama.

Sebagai contoh, harga nasi bajet dan nasi ayam bajet hanya berharga antara RM4 dan RM4.50, mee celup masih ada peniaga menjual dengan harga RM2.

Penulis juga mendapati Warung Kak Lah di Losong Kuala Terengganu masih menjual Teh dengan harga RM1 dan kuih untuk sarapan berharga di bawah RM1.

Restoran Sri Mambu di Kampung Ru Muda, Marang pula menjual air milo berharga RM1 dan nasi berlauk ayam goreng dan telur di bawah harga RM4.

Begitu juga dengan kedai Roti Canai Pian di Pasar Marang yang masih menjual air milo dan roti canai dengan harga RM1.

Dalam soal ini, apa yang penulis ingin perkatakan ialah mengenai sikap peniaga itu sendiri, bukan soal untung sedikit atau tidak untung langsung.

Ada peniaga yang menjual air milo sehingga RM3 secawan, roti canai (RM1.50) dan nasi ayam (RM6).

Maka itu, penulis berpendapat selagi kerajaan gagal mengawal kenaikan harga bahan mentah, kita tidak dapat menjangkakan sampai bilakah lebih 15,000 peniaga di bawah program Menu Rahmah ini dapat bertahan bagi menawarkan harga makan tengah hari dan malam serendah harga RM5.

Adakah ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau sekadar mencari formula pendekatan popular?


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *