MAHKAMAH Sesyen Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan terhadap seorang pekerja di ladang ternakan lembu atas dua pertuduhan memiliki sebutir bom dan senjata tajam, empat tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas PS. Tamil Kumaran, 36, membuat pengakuan bersalah setelah dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Hakim Darmafikri memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Oktober 2019, lapor Sinar Harian.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu di3 Penjara Sungai Buloh kerana tertuduh sedang menghadapi satu lagi pendakwaan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios bersama dua lagi rakannya.
Perbuatan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMj), di Serkam, dari arah Muar ke Melaka pada pukul 12.15 tengah hari, 24 Oktober 2019.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 ringgit atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 kurungan 1 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Siva Shangari manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Sheelan Arjunan.
Hakim Darmafikri dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dengan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.
Leave a Reply