Anggota tentera didakwa rogol anak saudara

SEORANG anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Melaka hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya, dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Taman Semabok Jaya, di Melaka kira-kira pukul 12 tengah hari, 29 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima 10 tahun dan maksima 30 tahun serta sebatan.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dengan cara mencium mulut dan meraba anggota sulit kanak-kanak itu.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 malam, 28 Disember 2021 lalu di lokasi sama.

Justeru, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak perempuan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun hujahnya, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan.

Ini kerana, ujarnya, tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa dan sewaktu kejadian mangsa di hantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya sepanjang tempoh persekolahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan rendah dan menangung isteri serta dua anaknya yang berusia 11 dan 14 tahun.

Mohd. Sabri pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia menurut Astro Awani.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *