Bekas pemandu teksi rogol pelancong kekal dipenjara 20 tahun

MAHKAMAH Rayuan hari ini memutuskan seorang bekas pemandu teksi kekal dipenjara 20 tahun dan disebat 16 kali atas dua pertuduhan kerana mengugut serta merogol seorang pelancong wanita warga Indonesia di sebuah hotel.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Supang Lian dan Datuk Ahmad Nafsy Yasin, membuat keputusan itu secara sebulat suara terhadap tertuduh, Abdul Ghani Abdul Karim.

Kamaludin berkata, ia selepas pihaknya mendapati Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah mempertimbangkan semua fakta masing-masing ketika menjatuhkan serta mengekalkan hukuman berkenaan.

“Dua sabitan pertuduhan itu selamat dan berkaitan hukuman, tiada sebab untuk mengganggu dapatan mahkamah terbabit yang mempertimbangkan segala fakta.

“Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan untuk kedua-dua pertuduhan,” katanya.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman terbabit terhadap Abdul Ghani, 48, pada 23 Julai 2020, manakala Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman pada 20 Mei 2021.

Mengikut pertuduhan, Abdul Ghani, merogol wanita warga Indonesia, 34, dan mengugut mangsa hendak menyebabkan kematian dengan menggunakan pemutar skru di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, antara pukul 1.30 hingga 2 pagi, 24 Disember 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) dan 506 Kanun Keseksaan (KK).

Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili Abdul Ghani, Muhamad Izwan Ishak, memohon Mahkamah Rayuan mempertimbangkan dua isu utama berhubung hukuman terbabit.

Yang pertama, keterangan bercanggah oleh saksi pendakwaan pertama yang juga pekerja hotel dan mangsa sebagai saksi pendakwaan kedua berhubung kejadian rogol.

“Saksi pendakwaan pertama kata jika ada jeritan dalam bilik, dia atau penyelia hotel boleh dengar. Bila saksi pendakwaan kedua menjerit untuk hentikan perbuatan rogol, saksi pendakwaan pertama langsung tak dengarnya.

“Isu kedua pula pada peringkat pembelaan, ada dikemukakan tangkap layar perbualan (pada telefon) antara perayu (Abdul Ghani) dan abangnya.

“Ketika kejadian itu, perayu sedang menjaga ibu bapa yang sakit. Abang perayu ada bertanyakan mengenai keadaan ibu bapa, selain pergi ke rumah mereka pada masa itu,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norzilati Izhani Zainal, menafikan berlaku percanggahan antara kedua-dua saksi pendakwaan berkenaan.

Katanya, mangsa memaklumkan dalam keadaan lemah menyebabkannya tidak berdaya untuk menjerit ketika kejadian rogol itu.

“Kalau nada suara menjadi lebih keras, mangsa kata akan dipukul oleh tertuduh. Bagi alibi berada di rumah ibu bapa, tertuduh tidak menidakkan berada di tempat kejadian kepada pegawai penyiasat.

“Sabitan pertuduhan adalah selamat terhadap perayu yang juga pesalah berulang bagi jenayah rogol dan Mahkamah Sesyen sudah mengambil kira keterangan saksi sebelum membuat penghakiman,” katanya lapor BH.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *