PELAKON Sharnaaz Ahmad akan memfailkan representasi dalam masa terdekat atas pertuduhan dihadapinya kerana mencederakan seorang pengawal keselamatan, tahun lalu.
Ia disahkan peguam bela Sharnaaz Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, ketika dihubungi, hari ini.
“Maklumat terperinci berkaitan representasi itu akan dimaklumkan ketika pengurusan kes seterusnya pada 6 Mac ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun, di kawasan lif sebuah kondominium pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada Jun lalu, pelakon itu direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini.
Media melaporkan Sharnaaz ditahan selepas dipercayai menumbuk dan menendang penghuni kondominium itu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.
Sharnaaz yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.
Leave a Reply