Perkahwinan’ PH-BN tak lama, sukar pertahan kerjasama

BADLISHAH MAT

KETUA Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meramalkan ‘perkahwinan’ antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertahan lama.

Beliau berkata, hubungan itu akan berakhir dengan ‘penceraian’ disebabkan kesukaran dihadapi kedua-dua pihak untuk mempertahan kerjasama yang dimeterai untuk membentuk kerajaan Perpaduan.

“Sama ada talak tiga, dua atau satu, saya harap disegerakanlah. Mereka sedang susah sebenarnya (nak pertahan kerjasama) dan kita tengok pun memang sangat sukar.

“Jangan ada pihak sakit hati saya cakap begini kerana ini pandangan ikhlas. Masing-masing tidak ada persefahaman gara-gara stail yang berbeza,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sempena Sukma 2020 di Alor Setar, hari ini.

Muhammad Sanusi mengulas keputusan mesyuarat pertama Sekretariat kerajaan Perpaduan semalam yang bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya, terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Jelasnya, antara faktor yang akan membawa kepada perpecahan itu adalah kesukaran pembahagian kerusi antara mereka bagi berdepan PRN.

“Kerusi-kerusi majoriti Melayu sudah tentul dituntut UMNO untuk menentang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Tetapi parti-parti lain dalam PH juga mahukan kerusi sama. Itu akan menjadi pembahagian kerusi yang sangat sukar. Sebab itu saya jangka hubungan mereka akan gagal,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan Pas Terengganu di bawah Tan Sri Abdul Hadi Awang hanya bertahan sepenggal dahulu kerana Pas memiliki pemimpin seperti Datuk Mahfuz Omar.

“Abdul Hadi cuma dapat perintah satu penggal kerana antara pemimpin utama Pas pada waktu itu adalah Mahfuz. Jadi kita tak dapat pertahankan Terengganu kerana pemimpin kami ada orang yang macam Mahfuz.

“Sekarang Mahfuz tidak lagi bersama kita dan beliau sendiri kalah 31,000 undi di Pokok Sena. Maka saya ucap selamat kembali kepadanya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula dalam PRN nanti untuk kita berentap di medan politik,” katanya.

Semalam, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyatakan PH dan BN mampu merampas Kedah kerana Terengganu juga pernah tumbang setelah cuma sepenggal diperintah Abdul Hadi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *