Kontraktor mengaku salah kemuka dokumen palsu dapatkan kontrak

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk mendapatkan kontrak dari sebuah syarikat pembersihan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ronie Maharudin, 47, mengaku bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik sebuah syarikat, Kembar Mega Enterprise bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018.

Dia didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu dan disebabkan itu, lelaki tersebut didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama iaitu penjara tidak lebih dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 Februari 2019 di Pejabat E-Idaman Sdn. Bhd., Bandar Baru Stargate, Alor Setar.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif.

Terdahulu pihak pendakwa mencadangkan agar pihak mahkamah membenarkan tertuduh dijamin pada kadar RM30,000 dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan ditetapkan di bawah RM10,000 memandangkan tertuduh sudah tidak memiliki pendapatan tetapi selain masih perlu menanggung tiga anak serta ibu bapanya.

Pihak pendakwaan kemudiannya kembali bangkit selepas itu dan memohon agar jaminan ditetapkan setimpal nilai kontrak kes tersebut yang mencecah RM1.7 juta.

Hakim kemudiannya menetapkan kadar jaminan pada RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh pendengaran fakta kes dan menjatuhkan hukuman.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *