PERNAHKAH kita dengar rakyat mengeluh setiap kali tiba musim perayaan kerana tidak dapat bermain mercun? Atau pun terdapat desakan besar-besaran melalui demonstrasi atau penyerahan memorandum kepada pejabat perdana menteri agar penjualan mercun dibenarkan.
Setakat yang Tok Chey ketahui, tiada lagi mana-mana rakyat kita yang mati kebuluran kerana tidak dapat bermain mercun.
Tidak ada bukan? Maka adalah amat pelik apabila kerajaan yang kononnya prihatin kepada nasib rakyat membuat keputusan menghalalkan jualan mercun dan bunga api dengan alasan dapat meningkatkan hasil kepada negara. Kalau pun kerajaan terdesak sangat mahu mencari dana, kebenaran menjual mercun bukanlah cabang pungutan cukai yang baik kerana ia bukan diasaskan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah.
Sudah terang lagi bersuluh banyak kesan negatif yang dapat kita lihat daripada perbuatan membakar mercun iaitu pertamanya sudah banyak berlaku kes buta mata, putus jari dan kecacatan anggota badan yang lain. Jika ditanya kepada mangsa-mangsa ataupun ibu bapa mereka, sudah pasti semuanya menyesal kerana terpaksa menanggung derita selama-lamanya akibat perbuatan yang sia-sia itu.
Kalau boleh diputarkan masa, sudah pasti mereka tidak mahu terlibat dengan mercun kerana keseronokan yang seketika menyebabkan trauma dan kesengsaraan sehingga akhir usia.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kes-kes kebakaran rumah yang berlaku akibat tindakan membakar mercun yang mana perbuatan itu menyebabkan kerugian harta benda yang lebih besar seperti hilang tempat tinggal sekelip mata.
Dalam aspek ketenteraman awam pula, perbuatan membakar mercun menyebabkan kacau ganggu dalam kejiranan apabila tindakan itu menimbulkan perasaan kurang senang penduduk hingga mencetuskan masalah lain.
Bunyi mercun yang kuat dan dibakar pada lewat malam menyebabkan bayi-bayi dan kanak-kanak terkejut hingga tidak dapat tidur malam juga telah mencetuskan perasaan tidak selesa dan pergaduhan sesama jiran.
Dari sudut agama Islam sendiri, perbuatan membakar mercun tidak menepati syariat kerana ia adalah perbuatan yang membazir wang, sia-sia dan bukan amalan yang digalakkan setiap kali tibanya perayaan.
Jadi, sungguh mengecewakan apabila seorang menteri yang bertanggungjawab dalam menghalalkan mercun boleh mengatakan pembakaran mercun sudah menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa perayaan termasuklah hari raya Aidilfitri.
Daripada semua keburukan yang timbul disebabkan perbuatan membakar mercun, Tok Chey amat pelik bagaimana kerajaan Perpaduan boleh membuat keputusan itu dalam mesyuarat kabinet dengan pantas tanpa merujuk kepada pihak berkepentingan.
Sepatutnya, daripada semua keburukan yang telah berlaku di depan mata, kerajaan wajar meningkatkan penguatkuasaan dalam melarang perbuatan mercun daripada terus berleluasa. Pintu sempadan dan lorong-lorong tikus perlu dipantau dengan lebih ketat supaya penyeludupan mercun daripada negara jiran dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Anggota keselamatan yang bertugas di barisan hadapan untuk memantau penyeludupan perlu dibantu dengan alat canggih supaya tugas mereka dalam menghalang kemasukan mercun dan barang terlarang lain dapat dilakukan lebih mudah.
Oleh itu, kalau kerajaan benar-benar mahu mengutamakan rakyat sudah pasti keputusan menghalalkan mercun tidak akan diluluskan walau dengan apa alasan sekalipun.
Banyak lagi perkaran penting lain yang memerlukan perhatian kerajaan melibatkan portfolio kementerian perumahan seperti masalah rumah mampu milik, harga rumah yang tidak munasabah, infrastruktur di kejiranan, isu-isu di pihak berkuasa tempatan dan macam-macam masalah lain lagi.
Tidakkah itu lebih penting untuk diberikan fokus ketika ini berbanding mercun yang tiada dalam radar kepentingan rakyat.
Leave a Reply