LEBIH 80 mangsa terbunuh selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye dan juga utara Syria.
Angka kematian di Turkiye meningkat sekurang-kurangnya 44 orang, menurut agensi berita kerajaan yang memetik kenyataan pegawai Turki.
Sementara di Syria pula, sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terbunuh di bandar Aleppo, Hama dan Lattakia, menurut kementerian kesihatan Syria, dengan lebih 200 lagi cedera.
Beberapa bangunan dilaporkan runtuh menyebabkan puluhan mangsa terperangkap apabila gempa berukuran 7.8 magnitud itu melanda Selatan Turkiye awal pagi Isnin.
Gegaran yang berlarutan kira-kira seminit itu juga turut menyebabkan tingkap bangunan pecah dan orang ramai bergegas turun ke jalanan yang diliputi salji tebal.
Gegaran dilapor turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) dalam satu kenyataan berkata gempa berlaku pada kedalaman 10km berhampiran bandar Kahramanmaras di selatan Turkiye.
Operasi mencari mangsa yang terbunuh dan terselamat sedang dijalankan.
Pihak berkuasa juga dilaporkan sedang mengkaji risiko berlakunya tsunami.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan dalam tweetnya mendoakan keselamatan rakyat yang terjejas.
“Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke kawasan yang terjejas,” tulisnya.
Gempa bumi berkekuatan magnitud 7.8 ini sama dahsyat dengan gempa di timur laut Turki pada Disembar 1939 yang mengorbankan kira-kira 30,000 orang.
Agensi Pertahanan Awam Syria dalam pada itu mengisytiharkan darurat susulan gempa bumi.
Dalam kenyataannya di Twitter, puluhan mangsa masih terperangkap di barat laut Syria awal pagi Isnin.
Leave a Reply