KEPEMIMPINAN UMNO mungkin ‘bangga’ kerana walaupun sudah dua kali ditolak rakyat dan dua pilihan raya umum, mereka masih mampu menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan melalui kerjasama dengan dua gabungan parti berbeza.
Namun ‘kejayaan’ yang dianggap hasil taktikal pemimpinnya tidak memberi apa-apa kelebihan kepada parti itu untuk bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Sebaliknya, dari semasa ke semasa, UMNO semakin berkeceramuk dan dilihat semakin tiada arah tuju dalam memperkasakan semula parti itu. Keadaan menjadi lebih buruk, apabila berlaku ‘krisis dalaman’ selepas beberapa pemimpin berpengaruh dan dianggap pemimpin masa depan UMNO digantung atau dipecat.
Sepatutnya dalam keadaan parti semakin melemah, ia tidak wajar dilemahkan dengan tindakan yang bertujuan mempertahankan kuasa dan kedudukan mana-mana individu. Lebih malang, tindakan melalui ‘operasi pembersihan’ itu tidak melegakan ahli UMNO sebaliknya mereka menganggap ia memburukkan lagi keadaan .
Di peringkat akar umbi, ahli-ahli UMNO semakin muak dengan apa yang berlaku. Ia memandangkan mereka yang disingkirkan melalui pemecatan dan ‘disejukbekukan’ melalui penggantungan serta diganti menerajui UMNO negeri biarpun menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRN adalah harapan parti itu untuk menyelamatkan UMNO.
Bayangkanlah Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung, Khairy Jamaluddin dipecat, Hasni Mohamad digantikan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor. Keempat-empat mereka bukanlah calang-calang individu.
Hishammuddin dan Khairy dianggap regu terbaik untuk mengemudi UMNO, Shahril Hamdan diletakkan harapan untuk memulihkan Pemuda UMNO manakala Hasni dilihat antara pemimpin pelapis UMNO selepas memgemudi UMNO Johor dengan cemerlang. Tetapi kesemua mereka boleh dianggap ‘terkorban’ hanya semata-mata mahu menyelamatkan parti.
Persoalannya tanpa mereka, siapa lagi yang UMNO boleh sandarkan untuk meraih semula sokongan rakyat khususnya orang Melayu dalam pilihan raya akan datang? Atas sebab itulah Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lantang mengkritik tindakan ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan.
Majoriti pemimpin UMNO sedia ada termasuklah Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan dilihat sudah tidak ada keupayaan lagi untuk meraih sokongan rakyat. Begitu juga di peringkat Naib Presiden, Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri.
Mereka mungkin tiada kuasa mengubah kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden yang sudah diputuskan tidak ditandingi. Tetapi itu tidak bermakna perjuangan mereka untuk melakukan perubahan dalam UMNO sudah berakhir. Ahli UMNO harus berani membuat keputusan untuk menolak pemimpin-pemimpin yang selama ini dilihat hanya menjadi ‘pengampu’ atau pembodek’ kepada kepemimpinan. Siapa mereka? Penulis yakin ahli UMNO boleh menilai sendiri.
Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi inilah fakta yang tidak boleh dinafikan atau tidak mahu dinyatakan secara terbuka oleh pemimpin UMNO kerana mahu menjaga kepentingan politik masing-masing. Justeru pemilihan UMNO tidak lama lagi tidak harus disia-siakan oleh ahli-ahli UMNO.
Kalau betul mereka sayangkan parti, inilah masa terbaik untuk melakukan ‘pembersihan secara besar-besaran’. Jika sebelum ini ‘pembersihan’ yang dilaksanakan dianggap membunuh ‘benih-benih’ baik dalam UMNO , kali ini biarlah ‘pembersihan’ oleh ahli-ahli UMNO ‘membunuh’ virus yang melemahkan parti itu.
Tolak sahaja pemimpin ‘pembodek’, ketepikan sahaja pemimpin yang sudah berkali-kali kalah dalam pilihan raya tetapi bercita-cita mahu berada dalam Majlis Tertinggi. Dan jangan lupa singkirkan juga mana-mana ketua-ketua bahagian yang turut bertanggungjawab melakukan pendirian politik sehingga UMNO menjadi lemah.
Penulis percaya dengan apa yang berlaku dalam UMNO, ahli parti itu tidak ada pilihan, selain memastikan barisan kepemimpinan parti termasuk sayap terdiri daripada mereka yang berani menyatakan kebenaran demi kepentingan parti dan bukannya terus membiarkan parti dirosakkan oleh kelompok ‘pembodek’ dan ‘pengampu’ .
Tetapi kalau ahli UMNO sudah selesa dengan keadaan parti itu sekarang yang menjadi penumpang dalam kerajaan dan terus mencatatkan prestasi buruk pilihan raya, silakan sahaja, lagipun Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas sudah menjadi pilihan orang Melayu. Keputusan PRU-15 sudah menjadi bukti.Betul tak?
Leave a Reply