ARMADA Bersatu mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan mereka semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu jika mereka berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kedua-dua parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) itu juga mewah berbelanja semasa kempen PRU-15 lalu, malah banyak mengadakan program hiburan, poster besar dan juga sewa helikopter digunakan pemimpin mereka.
“Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen PRU-15?
“Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, rakyat dapat meihat dengan jelas sekali bahawa kerajaan PH-BN terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ yang sinonim dengan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, ini dilakukan dengan langsung menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.
“Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.
“Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan,” katanya.
Malah Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri.
“Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.
“Armada Bersatu juga menyeru semua penyokong Perikatan Nasional agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung siasatan melibatkan kempen pada PRU-15 lalu.
Leave a Reply