Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun berdepan detik cemas apabila dia terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras ke kolam takungan air di Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.07 petang.
“Difahamkan kanak-kanak itu hanyut dalam longkang dan dibawa arus ke kolam takungan air ketika hujan lebat. Pihak kami kemudiannya terus melakukan kerja-kerja pencarian.
“Hasilnya, kami berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat kira-kira pukul 5.37 petang di tebing kolam takungan kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke tempat selamat dan diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.
Tambahnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 6.02 petang,” katanya.
Leave a Reply