ENTITI kepimpinan wanita muda dalam Pas, Ameerah Malaysia mempertikai pelantikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Ketua Pengarah 2 Ameerah Malaysia, Ummi Kalsum Ismail berkata, tidak timbul soal mengambil gaji atau tidak, kerana isunya ialah kelayakan Nurul Izzah itu sendiri, sedangkan ramai lagi mereka yang lebih layak memegang jawatan itu.
Menurutnya, ramai yang kurang faham istilah nepotisme tetapi rakyat tahu bahawa budaya memberi jawatan atau projek kepada anak beranak adalah budaya jijik.
Beliau menggariskan tiga persoalan utama yang perlu dijawab dalam isu pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kepada bapanya sendiri yang juga PM, walaupun dilakukan tanpa gaji.
Persoalan itu ialah:
- Apakah proses pemilihan yang digunakan dalam menentukan pelantikan Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri Malaysia?
- Adakah proses pemilihan ini dilakukan dengan adil dan saksama bagi semua calon yang lebih berkelayakan? dan
- Macam mana pemegang Ijazah Kejuruteraan serta Dasar Awam dan Sosial boleh dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan? Layakkah Nurul Izzah?
“Come on, rakyat Malaysia ada 32.7 juta orang. 69.5 peratus berada dalam kumpulan umur bekerja. Berapa ramai yang ada kelayakan dalam bidang ekonomi ini dinafikan hak hanya kerana mereka bukan berbin atau binti Anwar.
“Tapi jawapan Anwar mudah, “Nurul Izzah tak terima gaji”.
“Tidak timbul soal ambil gaji atau tidak, posisi penting Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi itu perlu dilihat secara profesional dengan fungsinya yang boleh mempengaruhi Perdana Menteri yang juga Menteri Ekonomi.
“Peranannya besar dan berpengaruh dalam mengurus kekayaan negara. Tindakan melantik anak sendiri ini membuka ruang kepada pelanggaran integriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ummi Kalsum tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan ini perlu dihentikan.
“Bermula dengan melantik kluster mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri, individu yang kalah sebagai Menteri, Perdana Menteri memegang dua jawatan penting dan sekarang melantik anak sendiri adalah permulaan yang akan membawa kepada kerosakan yang lebih besar.
“Pentaksub Perdana Menteri ke-10 dan Pakatan Harapan akan mengeluarkan seribu satu hujah bagi membenarkan segala perbuatan ini namun ia tetap tidak dapat menafikan keburukan nepotisme kepada negara,” katanya.
Beliau mempersoalkan apakah nasib Malaysia jika budaya ini diteruskan, sedang negara ini adalah milik semua, bukan Anwar semata-mata.
“Rakyat perlu bersuara agar perkara ini tidak menjadi suatu kebiasaan yang merosakkan,” katanya, lapor Agenda Daily.
Leave a Reply