WALAUPUN UMNO ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun apa yang berlaku dalam parti itu tetap menjadi perhatian apatah lagi UMNO kini menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan.
Apabila beberapa pemimpin parti itu yang dianggap popular dan mempunyai pengaruh digantung atau dipecat ia menjadi perbualan.
Beberapa pemimpin cuba mempertahankan tindakan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu tetapi ia sekadar memburukkan lagi keadaan.
Ia disebabkan mereka dikenali sebagai penyokong tegar Zahid justeru tentulah mereka akan mempertahankan apa juga keputusan dan tindakan beliau.
Baguslah ada ‘pejuang’ seperti itu tetapi untuk survival politik pemimpin yang mereka pertahankan atau diri sendiri bolehlah tetapi bagaimana dengan parti?
Adakah kelompok itu akan mampu memastikan UMNO bangkit semula dalam PRU-16 selepas melakukan apa yang dikatakan ‘Pembersihan secara besar-besaran itu’?
Kalau rekod perjalanan politik mereka dikaji bak kata orang kampung penulis, “nak samakan dengan tangan kiri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin pun depa tak dak.”
Maksudnya mereka tidak ada keupayaan seperti mana Hishammuddin dan Khairy, malah mereka juga tidak setanding dengan Hasni Mohamad dan Shahril Hamdan.
Tetapi mereka boleh ‘hidup’ walaupun kalah dalam pilihan raya kerana ‘menjaga’ Presiden sehingga kadang kala tindak tanduk cukup memualkan sehingga dibenci rakyat.
Apa yang berlaku dalam PRU-15 ternyata tidak dijadikan pengajaran.
Akibat menggugurkan beberapa pemimpin berpengaruh, UMNO kini hanya tinggal 26 kerusi BN dan UMNO catat keputusan pling buruk dalam sejarah penubuhannya.
Zahid yang sepatutnya bertanggungjawab atas kekalahan buruk itu tetap kekal Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Hujah Zahid,bukan beliau seorang sahaja perlu meletakkan jawatan sebaliknya pemimpin lain seperti Mohamad Hasan yang merupakan Pengarah Pilihan Raya dan Ismail Sabri Yaakob yang merupakan ‘poster boy’ juga perlu berbuat demikian.
Kini ketika UMNO akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), parti itu melakukan pembersihan yang kononnya untuk bangkit semula tetapi hakikatnya ia akan menjemput petaka .
Penulis tidak akan berlapik untuk menyatakan tindakan menyingkirkan Khairy melalui pemecatan dan ‘mendiamkan’ Hishammuddin dan Syahril Hamdan serta ‘membunuh secara senyap’ perjalanan politik Hasni apabila beliau digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan Johor akan membawa kesan buruk kepada UMNO.
Hishammuddin, Hasni, KJ dan Syahril adalah pemimpin masa depan UMNO. Tetapi langkah politik mereka dihentikan melalui pelaksanaan hukuman yang dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Ismail Sabri.
Zahid dan pemimpin yang menyokong beliau boleh memberikan hujah dan alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan ke atas pemimpin tersebut.
Mereka juga boleh menjadi alasan ia bagi menyelamatkan UMNO tetapi rakyat dan sebahagian ahli parti itu tidaklah bodoh.
Proses hukuman dijatuhkan dikatakan tidak mengikut prosedur apabila mereka tidak dipanggil membela diri.
Kalau ikut proses undang-undang, ia mestilah seperti mana proses dijalani oleh Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Zahid dituduh, segala bukti dibentangkan ketika perbicaraan dan kini beliau di peringkat bela diri selepas itu barulah mahkamah akan buat keputusan. Itu barulah proses yang adil.
Tapi dalam UMNO terbalik jatuh hukum dulu bela diri kemudian (proses rayuan). Tidak mengapa mungkin itu cara UMNO sejak berkawan dengan PKR… cakap lain buat lain.
Namun kali ini tindakan pemecatan dan penggantungan ke atas pemimpin UMNO akan memberi kesan buruk kepada parti itu.
Reaksi rakyat dalam media sosial sudah menjadi bukti bahawa UMNO sudah melakukan kesilapan akan akibat kegelojohan pemimpinnya mahu mempertahankan kuasa.
Atas sebab itulah mereka yang terlibat tidak mahu merayu. Hishammuddin pula berkata, apa yang berlaku bukan pengakhiran tetapi satu permulaan.
Kita tak tahu apa yang akan berlaku tetapi apa yang pasti barisan kepemimpinan sedia ada sudah tidak relevan lagi untuk perjuangan 5 tahun lagi. Inilah faktanya.
UMNO akan lihat petanda akhir penolakan rakyat dalam PRN tidak lama lagi selepas petanda awal dalam PRU-15 tidak dipedulikan. ‘Tahniahlah’
Leave a Reply