Struktur haram di siar kaki tular dirobohkan MBPG

PENGHADANG laluan pejalan kaki yang dibina seorang pemilik premis di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang hingga tular dalam media sosial sejak semalam akhirnya dirobohkan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

Menurut Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman, MBPG terpaksa mengambil tindakan tegas itu selepas pemilik premis berkenaan enggan mematuhi notis yang diberikan sejak dua minggu lalu.

“MBPG sudah memberikan dua notis kepada pemilik premis berkenaan. Pertama kita berikan minggu lalu tetapi ingkar sebaliknya terus mengekalkan struktur binaan berkenaan.

“Kemudian kita berikan notis sekali lagi untuk mengarahkan merobohkan binaan tersebut, namun mereka abaikan dan setelah cukup tempoh 14 hari, kita ambil tindakan tegas, kita robohkan pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara empat PBT Greater JB dan Persatuan Profesional Johor (Decco+) di Ibu Pejabat MBJB hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Mengulas lanjut, Asman Shah berkata, pihak MBPG akan memanggil pemilik premis untuk diberi penerangan berkenaan struktur tambahan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.

Katanya, pihaknya menyedari terdapat segelintir pemilik premis yang melanggar undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) namun enggan terus mengenakan tindakan tegas seperti saman dan sebagainya.

“Sebagai contoh lokasi berkenaan memang laluan umum, kita tidak pernah galakkan pemilik premis buat seperti itu kerana memang tidak munasabah.

“Oleh itu, kita juga perlukan maklum balas positif daripada pihak umum, namun biarlah ia adil dan jujur kerana terdapat beberapa permasalahan yang diutarakan adalah di luar bidang kuasa MBPG,” katanya.

Sebagai contoh kata Asman Shah, aduan kerosakan di Lebuhraya Pasir Gudang kerana berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan.

“Namun permohonan telah dibuat agar satu kerjasama dapat dijalinkan antara pusat dan kerajaan negeri bagi membolehkan kita membantu kerja-kerja penyelenggaraannya,” tambahnya, lapor Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *