Pegawai kesihatan dipenjara sehari, denda RM10,000 terima suapan RM5,200

SEORANG pegawai kesihatan persekitaran dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,200 dengan mengesyorkan syarikat milik adiknya berhubung kerja-kerja pembekalan peralatan pada 2016.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap Sumardi Yazid, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Sumardi yang ketika itu bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran didakwa menerima untuk dirinya suatu barang yang berharga dengan tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 dengan membuat syor memilih syarikat yang dimiliki adiknya bagi melaksanakan kerja membekal peralatan bekalan am.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 8 Mac 2016 di Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah (SPT) Berapit, Bukit Mertajam.

Oleh itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Ang Chun Pun memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah digantung tugas selain perlu menyara isteri, seorang anak berusia 14 tahun dan ibu mentua yang diserang strok.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee meminta mahkamah menjatuhi hukuman setimpal kerana kesalahan rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat sekiranya tidak dibendung.

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 yang mana jika denda itu gagal dibayar boleh dipenjara selama lima bulan.

Difahamkan tertuduh membayar denda itu hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *