PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya dengan mengatakan ia tidak melibatkan nepotisme.
“Nepotisme adalah di mana (ahli keluarga) diberi kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mendapatkan kontrak dan mendapat bayaran yang besar.
“Ini tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Sukan Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, hari ini.
Anwar turut menyelar pengkritiknya dengan berkata, bekas perdana menteri dan menteri yang memberikan ahli keluarga mereka “ratusan juta hingga 1 bilion” kontrak sebagai tidak layak untuk bercakap mengenai ketelusan.
Katanya, peranan Nurul Izzah adalah untuk membantu bagi memastikan projek dan tender kerajaan dilakukan dengan teratur.
“Saya nak beri jaminan, pentadbiran kita Insya-Allah walaupun ada yang kurang puas hati tentang itu (pelantikan Nurul Izzah) kita akan tentang rasuah, tidak akan salah guna kuasa dan memperkayakan mana-mana pegawai atau pemimpin,” katanya, lapor Free Malaysia Today.
Terdahulu Transparency International Malaysia (TI-M) mempersoalkan keputusan Anwar melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan walaupun pendiriannya menentang nepotisme.
Presiden TI-M, Muhammad Mohan, berkata perdana menteri sentiasa bercakap menentang amalan nepotisme dan kroni, jadi keputusan itu tidak kelihatan baik untuk beliau.
Walaupun beliau menganggap Nurul Izzah sebagai seorang yang berintegriti, Muhammad berkata persepsi yang timbul daripada pelantikan itu menunjukkan nepotisme sudah “kembali”.
Tambah Muhammad ia mungkin tidak menjadi isu jika naib presiden PKR itu menjadi penasihat di kementerian lain.
Beliau berharap Anwar akan bertindak terhadap kritikan itu dan menggesa beliau membatalkan pelantikan Nurul Izzah secepat mungkin.
Nurul Izzah pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai selama dua penggal (2008-2018) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh selama satu penggal.
Beliau gagal mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional pada PRU15.
Leave a Reply