SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan memukul bapanya berusia 71 tahun menggunakan sebatang kayu.
Tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 7 malam, 26 Januari lalu.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya sendiri.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman terhadapnya dikurangkan.
Hakim Mohd. Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.
Dalam prosiding berasingan, tertuduh juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.
Bagi kesalahan itu dia turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap lapor Astro Awani.
Leave a Reply