SEORANG bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan kematian bayinya berusia tiga bulan, awal bulan ini.
Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, mengaku cuai sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala, di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada 4.15 petang, 3 Jan lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin manakala Amirul Hakim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia yang bekerja sebagai ejen insurans perlu menanggung keluarga.
Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb ini untuk fakta kes dan hukuman.
Leave a Reply