SEORANG warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan menerima, memindah dan melupus wang aktviti haram berjumlah RM1.27 juta, dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 67, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hakim Kamarudin Kamsun, pagi tadi, lapor Utusan TV.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah menerima wang yang merupakan hasil aktiviti haram secara berasingan berjumlah RM705,625 daripada akaun bank milik AYMY Multitouch Enterprise.
Selain itu, tertuduh turut didakwa memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 daripada akaun bank miliknya secara atas talian sebagai bayaran, kepada akaun bank milik tiga buah syarikat berlainan.
Sementara dua lagi pertuduhan, dia didakwa melupuskan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM490,285 yang juga merupakan hasil aktiviti haram menerusi akaun bank miliknya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank tempatan di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur antara 6 hingga 13 November 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (akta 613), dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Dia berdepan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berkenaan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon supaya mahkamah mengurangkan kadar ikat jamin berikutan tertuduh sudah diisytiharkan muflis, tidak bekerja, menghidap kencing manis dan baru menjalani pembedahan lutut.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 7 Mac depan bagi sebutan semula kes.
Leave a Reply