Nelayan Terengganu menunggu berakhirnya Chap Goh Meh untuk kembali ke laut!

guane

SEJAK tiga hari lalu bumi Terengganu kembali dibasahi hujan yang turun sekejab-sekejab.

Wajah di kaki langit sebelah ufuk timur pula kelihatan sentiasa mendung apabila awan hitam terus menyelubungi suasana alam yang muram.

Perkembangan ini turut menyebabkan berlakunya kejadian hujan lebat di sesetengah kawasan disamping angin kencang serta laut bergelora.

Keadaan ombak yang menggulung dirakamkan berlatarbelakang Pulau Kapas di Kampung Ru Muda, Marang, pagi ini.

Ia sekali gus terus meresahkan semua nelayan pesisir pantai khususnya mereka yang menggunakan bot kecil.

Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), angin kencang Timur Laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Keadaan ini memaksa para nelayan pesisir pantai terutama yang menggunakan bot kecil belum berani untuk melakukan aktiviti di laut.

Walaupun hujan lebat sudah tidak lagi mencurah, namun sudah hampir tiga bulan nelayan terbabit terpaksa ‘menyadai’, ‘mengurung’ dan melabuhkan bot-bot mereka di dalam muara.

Mereka kini hanya menantikan masa sesuai untuk kembali ke laut, iaitu selepas masyarakat Cina menyambut Chap Goh Meh.

Berdasarkan pengalaman penulis yang dilahirkan di perkampungan nelayan, orang tua-tua dahulu pernah menyatakan untuk kembali melakukan aktiviti di laut ialah selepas berakhirnya Chap Goh Meh.

Menurut kepercayaan nelayan di Terengganu, ini kerana keadaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dikenali sebagai angin Cina dikatakan akan berakhir selepas sambutan Chap Goh Meh.

Malah, penulis mendapati pegangan ini masih menjadi panduan dalam kalangan masyarakat nelayan sekarang ini.

Sebab itulah penulis perhatikan sehingga ini kebanyakan bot nelayan pesisir masih dilabuhkan di dalam muara dan juga alur sungai.

Begitu juga dengan pengusaha pusat peranginan di pulau-pulau seperti Perhentian, Redang, Kapas dan Tenggol.

Demi keselamatan dan nyawa para pelancong, kebanyakan mereka masih mengambil langkah selamat dengan menghadkan aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan tersebut.

Hal ini kerana, walaupun ada ketika keadaan laut kelihatan tenang, tetapi tiupan angin monsun belum lagi berakhir dan tidak sesuai untuk proses ‘buka kuala’.

Bercakap mengenai MTL atau musim tengkujuh ini, walaupun ketika ini hujan lebat hanya turun sekejab sekejab , tetapi ia masih tidak selamat bagi penduduk yang tinggal di kawasan pantai dan tebing sungai.

Ini memandangkan, penduduk di kawasan terbabit berkemungkinan akan berhadapan dengan musibah limpahan air laut, air sungai pasang besar dan hakisan.

Kejadian ini boleh menyebabkan berlakunya banjir dan rumah mereka musnah dihanyut arus deras.

Inilah yang sedang berlaku di daerah kemaman, Setiu dan Besut sekarang ini apabila ada rumah penduduk di tepi pantai musnah dibadai ombak besar.

Mengikut cerita orang tua-tua, pada musim seperti ini musibah boleh berlaku dengan sekelip mata kerana selain arus laut terlalu deras, keadaan ombak yang tenang boleh bertukar menjadi besar secara tiba-tiba.

Oleh itu, penulis ingin menasihati kepada semua penduduk dan juga pengunjung di pesisir pantai supaya sentiasa berhati-hati dengan fenomena
ini.

Usah terlalu ghairah melakukan aktiviti di pantai termasuk mandi manda pada musim ini kerana kelak nanti merana diri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *