Oleh RIZQI ZABIDI
DEK kerana mengamalkan penjualan terpilih bagi minyak masak peket satu kilogram (kg), seorang peniaga di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah terpaksa berdepan tindakan tegas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemeriksaan di kedainya, hari ini.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu setelah seorang pelanggan memuat naik kandungan di Tik Tok menyatakan kekesalannya mengenai sikap peniaga itu kelmarin.
“Susulan itu, seorang pegawai KPDN yang berpakaian preman hadir ke kedai tersebut kira-kira pukul 11 pagi tadi dan menyamar sebagai pelanggan bagi membeli minyak masak peket. Peniaga tersebut bagaimanapun memaklumkan bekalan tersebut tiada di kedainya.
“Pemeriksaan dijalankan selepas itu mendapati terdapat 120 peket minyak masak subsidi satu kilogram diletakkan di bahagian belakang premis.
“Minyak masak itu disyaki disimpan dan tidak dijual kepada sebarangan pelanggan sebaliknya hanya untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seorang wanita dalam video dimuat naik di laman Tik Toknya kelmarin meminta KPDN membuat siasatan terhadap perkara tersebut kerana mendakwa ditengking apabila dia bertanyakan mengenai minyak masak subsidi sekilogram.
Menurut wanita berkenaan, peniaga itu mendakwa tiada minyak masak di kedainya sedangkan terdapat banyak minyak masak dikeluarkan dari lori besar ke pasar raya mini tersebut.
Mengulas lanjut Affendi berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Jika sabit kesalahan, mana-mana individu perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua,” katanya.
Leave a Reply