Khairy boleh kemuka permohonan sertai Bersatu, kata Muhyiddin

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar boleh mengemukakan permohonan sekiranya berhasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setelah dipecat daripada UMNO semalam.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan daripada bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun akan dipertimbangkan oleh pihak parti sebelum membuat keputusan.

“KJ (Khairy Jamaluddin) adalah orang bijak, dia pandai, banyak orang suka, tapi tidak mengapa semua ini saya kenal… terserah pada mereka (pihak parti) kalau mereka rasa sesuai kerana seorang seperti KJ ini, bukan saya hendak memuji pun.

“Dia bersama saya dalam kerajaan dulu… saya lantik dia walaupun parti tidak menamakan dia. Dulu jadi Menteri MOSTI (Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi), lepas itu Menteri Kesihatan. Jadi kita kenal dia bijak orangnya… berkelulusan tinggi dan politik pun boleh tahan matang.

“Jadi kalau KJ kata dia berhasrat untuk bersama menyertai Bersatu, dia boleh buat permohonan.Kita akan pertimbangkan secara yang baik-baik,” katanya yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh di Muar hari ini.

Selain Khairy, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat daripada UMNO hasil keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Pemecatan berkenaan dibuat berikutan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahlian masing-masing.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat mengulas banyak mengenai pemecatan nama-nama besar UMNO.

“Saya minta maaf… saya patut tak boleh campur urusan parti orang lain tapi kerana saya bekas Timbalan Presiden dan saya pernah berada dalam parti itu, saya fikir orang seperti saya atau pun yang lain tentu mereka agak rasa kecewa dan dukacita,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *