PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihati supaya merehatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan serta-merta bagi memastikan perbicaraan kes mahkamah di hadapinya diselesaikan tanpa kelewatan atau gangguan
Gesaan itu disuarakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berikutan permohonan yang difailkan Zahid kepada pihak mahkamah untuk pasport beliau dikembalikan secara kekal.
“Dalam permohonannya, Ahmad Zahid mendakwa beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara, selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri, yang dikehendaki berada di dalam dan di luar negara.
“Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan.
“Walaupun ia menjadi kuasa mutlak hakim untuk memulangkan pasport berkenaan, namun bidang tugas yang dipegang Datuk Seri Ahmad Zahid yang dalam pentadbiran kerajaan ketika ini, akan memberi kesan kepada kuasa bidang kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, pemulangan pasport berkenaan pastinya akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan, dengan pelbagai alasan urusan tugas, seterusnya akan mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan.
Hakikatnya, jelasnya, pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah Menteri serta kerajaan secara keseluruhan.
“Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15, yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti.
“Pendekatan terbaik bagi menangani isu ini adalah dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bertegas supaya Datuk Seri Ahmad Zahid direhatkan dari tugas beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi memberi fokus kepada proses perbicaraan mahkamah, seterusnya membuktikan beliau tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan yang disabitkan.
“Tindakan itu bagi menjamin sistem kehakiman negara yang bebas dan adil, selain menjamin perbicaraan yang telus tanpa sebarang campur tangan dan penangguhan,” katanya, lapor BeritaBersatu.
Leave a Reply