JALAN Kota Tinggi-Mersing di Kilometer 60 di Kota Tinggi ditutup untuk kenderaan ringan, bermula 12 tengah hari tadi, kerana dinaiki air.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata justeru orang ramai dinasihatkan untuk melalui jalan alternatif menerusi Tenggaroh.
“Setakat ini, hanya satu sahaja jalan utama iaitu Jalan Kota Tinggi-Mersing yang ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya kenderaan berat serta pacuan empat roda dibenarkan.
“Jalan itu dinaiki air dengan jarak kira-kira 40 meter, jadi orang ramai diminta menggunakan jalan menerusi Tenggaroh sebagai alternatif,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, di sini, hari ini.
Selain itu, jalan lain yang ditutup untuk kenderaan ringan adalah Mawai Lama (Rumah Burung), Jalan Tanjung Sedili (Kampung Gembut), Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA) dan Jalan Lok Heng-Sungai Mas (Sungai Semalok).
Hussin berkata pihaknya juga giat mengadakan rondaan termasuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk sekitar seperti pekerja ladang sawit di Ladang Ibzi Punggai, di sini, yang terputus bekalan makanan berikutan jalan dinaiki air.
Beliau berkata mesyuarat penyelarasan dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia, sentiasa dijalankan bagi memastikan tugas dan peranan dapat diselaraskan tanpa pertindihan tugas. – BERNAMA
Leave a Reply