‘Banjir terburuk sejak 2006’ – Penduduk

BEBERAPA penduduk di Lahad Datu antaranya Kampung Sepagaya di Lahad Datu menyifatkan banjir yang melanda kawasan itu sejak malam tadi adalah yang terburuk sejak 2006.

Bekas Ketua Kampung Sepagaya, Nasir Tunggara, 48, berkata, walaupun penduduk telah membuat persiapan awal antaranya dengan mengalihkan barangan ke tempat tinggi, mereka tidak menyangka banjir yang melanda lebih teruk daripada yang dijangka.

“Rumah saya bertiang tinggi pun hampir dimasuki air, kira-kira 8 inci lagi air banjir boleh masuk ke rumah. Ini kali ketiga kampung kami dilanda banjir.

“Semalam, kami penduduk kampung terpaksa berjaga-jaga ekoran cuaca hujan kerana khuatir paras air meningkat di luar jangkaan, hari ini syukur cuaca baik dan banjir pun mulai surut,” katanya ketika ditemui Bernama di Lahad Datu hari ini.

Hujan lebat berterusan sejak 4 petang semalam itu mengakibatkan Kampung Manau Batu 7 Jalan Silam, Kampung Sepagaya Tengah, Kampung Sepagaya Hilir dan Kampung Busul di Lahad Datu dilanda banjir.

Setakat pagi tadi, seramai 18 mangsa daripada tiga keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan di Lahad Datu yang diaktifkan kira-kira 11 malam tadi.

Sementara itu, Nasir berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan rintihan penduduk kampung yang mahukan kerja-kerja mendalam serta melebarkan Sungai Sepagaya dilaksanakan bagi menangani masalah banjir pada masa hadapan.

“Penduduk kampung sering kali menyuarakan perkara ini kepada wakil kerajaan tetapi dipandang sepi akibat berlaku pertukaran pucuk pimpinan. Oleh itu, saya dan penduduk kampung berharap agar projek ini mendapat perhatian kerajaan semula, selain naik taraf jalan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir Dony Diansoy, 46, dari Kampung Manau Batu 7 berkata, kebiasaannya air naik hanya pada paras lutut tetapi semalam banjir melebihi paras pinggang.

“Sebelum ini tidak berapa risau, semalam khuatir sebab hujan tidak berhenti dengan gelap (waktu malam) air naik, yang dibimbangkan keselamatan keluarga dan kehadiran buaya.

“Saya ada anak kecil berumur dua dan tiga tahun, keselamatan mereka yang saya bimbangkan, syukur pasukan bomba datang menyelamatkan kami selepas itu bantuan polis bawa kami ke PPS,” katanya yang ditemui di PPS Dewan SMK Terusan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lahad Datu Lt Asby Mohd Anwar berkata, operasi APM memindahkan mangsa terjejas banjir ke PPS dilaksanakan dengan bantuan termasuk bomba dan polis.

“Hari ini trend air menunjukkan penurunan ketara ditambah dengan keadaan cuaca baik setakat pukul 5.30 pagi tadi. Kita akan mengesyorkan kepada Pegawai Daerah untuk menutup operasi PPS sekiranya keadaan baik berterusan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *