Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG sarjan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,500 pada November 2020.
Tertuduh, Muhamad Fitry Ismail, 32, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.
Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang rasuah tersebut dari seorang lelaki yang kini berumur 26 tahun.
Suapan tersebut didakwa diterima tertuduh yang juga bapa kepada dua anak setelah dia kononnya telah membantu menyelesaikan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 terhadap lelaki berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di luar pintu utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu kira-kira pukul 11.34 malam, 18 November 2020.
Sewaktu kesalahan itu didakwa dilakukan, tertuduh bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Cawangan Narkotik, IPD Kubang Pasu.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dan memohon agar tertuduh diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan.
Peguam mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dipertimbangkan untuk ditetapkan pada kadar minimum, memandangkan tertuduh tidak pernah gagal hadir bagi melapor diri di pejabat SPRM sejak ditahan pada 18 November 2020.
Mengambil kira perkara itu dan latar belakang lain, peguam tersebut percaya bahawa tertuduh yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berisiko untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Langkawi sebulan sekali,
Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mac 2023.
Leave a Reply