Treler bawa lebih 500 tong gas terbalik

SEBUAH treler membawa lebih 500 muatan tong gas kosong terbalik di Kilometer 17, Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, 12.25 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian berlaku semasa pemandu treler itu dalam perjalanan dari Bahau menghala ke depoh Melaka untuk pengambilan gas.

Katanya pemandu berusia 45 tahun itu tersepit di bahagian depan kenderaannya dan tong-tong gas bertaburan di atas jalan.

“Siasatan awal mendapati pemandu tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga memasuki laluan bertentangan dan terus melanggar tebing jalan lalu terbalik dan melintang di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hoo berkata mangsa, yang dipercayai patah tangan kanan dan kaki kanan, dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *