PAS dengan Amanah PAN

Situasi Pas-Amanah tidak sama dengan UMNO-Bersatu

Oleh RIZQI ZABIDI

SITUASI dihadapi Pas yang tidak boleh menerima Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai rakan kerjasama, langsung tidak boleh disamakan dengan sikap UMNO yang terus-terusan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas pada hakikatnya tidak dapat menerima Amanah kerana parti pimpinan Mohamad Sabu itu menjadi ‘orang’ suruhan DAP.

Katanya, semua parti dimenangi Amanah jelas terdiri daripada calon-calon yang disokong DAP.

“Tetapi Bersatu kita terima kerana apa? Pertamanya kerana parti itu memisahkan diri mereka dari DAP hingga menjatuhkan kerajaan pada 2020.

“Sepatutnya UMNO berterima kasih kepada Bersatu yang menyebabkan jatuhnya kerajaan dan membolehkan ‘hangpa’ kembali berada ddalam kerajaan,” katanya dalam Ceramah Ekspo Sik Sejahtera di Markas Pas Sik, Kedah, malam tadi.

Tambahnya, jika diambil kira semua perkara dilakukan UMNO hingga jatuhnya kerajaan dipimpin di Johor, Melaka dan Perak, Pas tentunya menjadi lebih marah terhadap mereka.

“Tetapi kami letakkan maslahah ummah melebihi maslahah sendiri. Kita korbankan perasaan untuk terima dengan hati terbuka.

“Kita adakan perbincangan mengenai 27 kerusi dianggap kritikal dalam PRU15 tetapi mereka tetap nak bertanding semua. Walhal kami cuma minta 10 kerusi untuk dibahagikan sama-rata dengan Bersatu dan mereka ambil 17 kerusi lain tetapi tetap BN kata nak bertanding semua.

“Dah jadi begitu, kami kata tak apalah… Biar kita berlawan tetapi selepas PRU, ayuh berbincang kerana Parlimen akan tergantung tetapi berlaku sebaliknya pula,

“Walaupun kita dah ada 115 akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen, tetapi pemimpin UMNO ambil tindakan tertentu hingga akhirnya mereka sanggup bersekongkol dengan DAP yang dimarahi dan dibenci selama ini,” katanya.

Begitu pun katanya, hubungan antara UMNO dan BN bersama DAP dijangka akan berdepan masalah.

“UMNO dapat 26 kerusi sebelum ini kerana mereka canang ‘No Anwar, No DAP’. Disebabkan itu masih ada orang percaya dan beri undi kepada mereka.

“Lepas ini mereka nak bagi alasan apa pula ketika orang kata ‘pangkah’ BN bererti ‘pangkah’ DAP? Sudah jelas bahawa undi BN bermaksud mengizinkan DAP bersama kerajaan merangka macam-macam dasar,” katanya.

Selain itu katanya, masalah juga akna terdai disebabkan oleh pengagihan kuasa di peringkat tempatan serta kerusi.

“Sekarang ini pun dah ‘berbunyi’ rasa tak puas hati mengenai lantikan Ahli Majlis serta ketua-ketua kampung.

“Nak berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti pun satu hal juga. Di Kedah dan Selangor contohnya, UMNO cuma ada dua kerusi saja. Adakah Amanah akan beri kerusi mereka untuk ditandingi UMNO?

“Sampai masanya nanti kita akan lihat. Mereka ini nampak saja macam bersatu tetapi sebenarnya berpecah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *