DAKWAAN seorang wanita yang menerima wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dalam jumlah yang berbeza-beza akan disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).
Menerusi kenyataan KPM memaklumkan, pihaknya telah menerima satu video yang tular dalam aplikasi TikTok tersebut.
Menurutnya lagi, wanita berkenaan yang juga ibu kepada tiga orang anak belajar di sekolah sama mendakwa menerima jumlah bayaran BAP yang berbeza-beza.
“KPM akan menyiasat perkara tersebut dengan kerjasama pihak yang terlibat bagi mendapatkan maklumat lengkap berkaitan.
“Ini supaya tindakan yang tegas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kebenaran seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor UtusanTV.
Sementara itu, KPM turut memohon kerjasama semua murid, ibu bapa atau penjaga membuat aduan secara rasmi melalui SISPAA KPM di https://moe.spab.gov.my.
Selain itu, orang ramai juga boleh membuat aduan melalui telefon sepanjang waktu pejabat beroperasi di talian 03-8884 6456.
KPM katanya, akan memastikan semua butiran pengadu akan dirahsiakan demi menjaga kebajikan pihak yang membuat aduan.
Terdahulu, tular seorang wanita mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa sengaja mengurangkan jumlah asal wang BAP.
Berdasarkan rakaman video di TikTok itu, wanita berkenaan mendakwa guru tersebut tidak jujur apabila hanya menyerahkan RM100 sahaja kepadanya ketika hadir mengambil wang BAP bagi tiga orang anaknya.
Kerajaan memperuntukkan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid yang masih bersekolah dan diagihkan secara tunai pada bulan ini.
Leave a Reply