SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman penjara empat tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis untuk merompak seorang lelaki warga Bangladesh.
Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Muhammad Yusof Abdullah, 55, dipenjara empat tahun atas kesalahan merompak, manakala penyamaran anggota polis dikenakan penjara setahun.
Hukuman itu berjalan serentak bermula 16 Mac tahun lalu iaitu tarikh Muhammad Yusof ditahan, lapor Astro Awani.
Lelaki berkenaan dikenakan hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyamar sebagai penjawat awam dengan memperkenalkan diri sebagai anggota polis serta merompak mangsa mengakibatkan kerugian RM2,500 di hentian bas Batu 5, Jalan Ipoh, 27 Februari 2022.
Kesalahan merompak mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, manakala penyamaran berkenaan di bawah Seksyen 170 KK yang membawa kepada hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis memeriksa badan mangsa sebelum memintanya menyerahkan pasport serta kad vaksin.
Penganggur itu kemudian menyelongkar beg mangsa dan mengambil wang tunai RM1,900, telefon bimbit jenis Oppo, 300 taka (mata wang Bangladesh), pasport serta kad vaksin, sebelum membawa mangsa menaiki kereta dan meninggalkannya ketika diminta membeli air.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Yusof, Shamsul Sulaiman, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang kini tidak bekerja perlu menanggung dua anak.
Leave a Reply