DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu membuat penelitian lanjut dan mempertimbangkan masa depan pencarum sebelum membuat keputusan membenarkan pengeluaran sekali lagi tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perdana Menteri berkata, ini kerana hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati majoriti simpanan kumpulan pencarum berkenaan terlalu rendah sekali gus boleh membuatkan golongan ini berhadapan pelbagai kesukaran pada masa depan.
“Kalau semua tengok orang yang simpan KWSP itu, duit (baki simpanan) sedikit sekali… jadi saya (akan) pertimbang keperluan yang mendesak dan (kerana melibatkan) masa depan mereka.
“(Jumlahnya) terlalu kecil, saya check jumlah yang ada dalam kalangan majoriti pencarum KWSP (adalah) sangat kecil, saya bimbang masa depan mereka, (maka) kita cari jalan (terbaik) untuk bantu mereka,” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri Perlis di Dewan 2020, di Kangar, hari ini.
Semalam, media melaporkan Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang caruman KWSP sebanyak RM30,000.
Menurut Presidennya, Khairul Anuar Othman, pengeluaran secara one-off antara RM10,000 hingga RM30,000 adalah bertujuan sebagai langkah penyelesaian jangka pendek dan panjang supaya rakyat tidak terputus perbelanjaan wang tunai.
Tambah beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pencarum KWSP yang mahu pengeluaran dibenarkan sekali lagi.
Leave a Reply