DUA pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini di atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.
Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang juga pengarah GIIB Rubber, Wong Ping Kiong, 59, dan Tai Boon Wee, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Ping Kiong didakwa atas empat pertuduhan, manakala Boon Wee didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.
Bagi pertuduhan pertama, Ping Kiong didakwa mengemukakan nota debit GIIB Rubber mengandungi butiran palsu kepada pengurus audit Grant Thornton Malaysia PLT berhubung penjualan enam unit mesin terpakai bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering Works.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh Ping Kiong dengan niat memperdayakan syarikat pengauditan berkenaan, sedangkan penjualan mesin tersebut tidak berlaku.
Ping Kiong didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, lapor Utusan TV.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Ping Kiong didakwa mengemukakan dokumen palsu kepada individu sama agar kebenaran diberikan kepada Goodway Rubber Industries Sdn. Bhd. bagi melupuskan mesin sama bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering.
Manakala Boon Wee didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Ping Kiong melupuskan mesin-mesin berkenaan di antara bulan Januari dan Februari 2021 di Pejabat Grant Thornthon Malaysia PLT, Sheraton Imperial Court, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Boon Wee didakwa bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 akta itu.
Hakim Suzana membenarkan Ping Kiong dan Boon Wee diikat jamin masing-masing RM60,000 dan RM50,000 dengan syarat pasport kedua-dua tertuduh ditahan.
Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua tertuduh melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat pada Isnin setiap awal bulan dan menetapkan tarikh sebutan bagi kedua-dua kes pada 28 Februari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan dua syarat jaminan tambahan.
Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad memohon jaminan di antara RM30,000 dan RM40,000 atas alasan kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM ketika siasatan.
Peguam bela berhujah, jaminan RM100,000 yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi manakala tiada bukti yang menunjukkan kedua-duanya akan melarikan diri.
Amer Hamzah berkata, kesalahan yang didakwa dilakukan hanya berkaitan penyerahan dokumen kepada syarikat pengauditan tanpa melibatkan kerugian wang.
Bagaimanapun, Chin How berhujah bahawa jaminan RM100,000 itu munasabah berdasarkan kepada nilai wang yang dinyatakan dalam pertuduhan mencecah RM3 juta.
Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar pertuduhan terhadap anak-anak guamnya dipertimbangkan.
Leave a Reply