Muhammad Sanusi awal lagi sudah fail pernyataan pembelaan saman Anwar

Oleh RIZQI ZABIDI

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas tidak melatah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam yang mengarahkan beliau memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatya 13 Februari depan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

Menurut Muhammad Sanusi, perkara itu sudah dilakukan sejak dari awal beliau disaman pada 13 Disember lalu.

“Semalam itu cuma naratif untuk mengekalkan momentum beliau. Lepas kemuka saman, beliau suruh jawab dan itu hanya kerana mahu ‘maintain’ momentum saja.

“Hakikat sebenarnya bukan macam itu. Sebaik saja beliau failkan saman dan mahkamah maklum, terus pihak kami jawab. Saya senaraikan semua kes mahkamah dilaluinya.

“Tetapi saya malas la nak ulas lagi. Nanti orang kata mulut saya celupar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perdabandaran Mampu Miliki Darul Aman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 di Jitra, Kedah, hari ini.

Semalam Bernama melaporkan, Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya, memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 13 Mac.

Menurut S.N. Nair, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 20 Mac depan.

Pada 13 Disember lalu, Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya berkata, pada 13 November tahun lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, memberi ucapan pilihan raya pada ceramah terbabit sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Menurut Anwar, ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Menurut Presiden PKR itu, pada 14 November 2022, kenyataan fitnah daripada video itu dipetik oleh MalaysiaKini dan portal berkenaan menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif, kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kenyataan terbabit tidak benar dan semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *