Oleh RIZQI ZABIDI
PERIKATAN Nasional (PN) dijangka tidak berdepan masalah untuk memenangi sekurang-kurangnya 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, cadangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bergabung dilihat tidak mampu menjejaskan kedudukan PN di negeri itu.
Katanya, petunjuk kepada kekuatan PN di Kedah dapat dilihat menerusi keputusan diraih dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Keyakinan itu hadir berdasarkan prestasi PN dalam PRU-15. Kita tahu PH akan bekerjasama dengan BN seperti di peringkat Persekutuan.
“Kalau undi PH dan BN dicampurkan pun, kita lihat PN akan tetap menang dan saya menjangkakan mereka hanya boleh menang tiga kerusi saja iaitu Kota Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepad penjawat awam di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, hari ini.
Sebelum ini Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, PH dan BN tidak wajar berdepan PRN Kedah secara berasingan ketika kedua-dua gabungan tersebut sudah pun membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, keadaan itu jika berlaku hanya akan menghantar mesej salah kepada pengundi selain mewujudkan keadaan tidak stabil di peringkat Persekutuan.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, momentum PN ketika ini tampak memberangsangkan dan meningkat setiap hari.
“Momentum kita sentiasa bertambah dan tidak akan pudar. Kita juga buat kerja sehabis baik.
“Rakyat sentiasa menilai apa yang mereka lakukan. Mereka kata pandai tetapi apabila jadi kerajaan, sebulan pun tak tahu nak buat apa lagi.
“Formula itu tak boleh pakai, formula ini tak boleh pakai… Orang sembang pasal ayam dan telur, dia sembang pasal babi. Jadi takkanlah rakyat Malaysia nak sokong kerajaan pening,” katanya.
Leave a Reply