DUA pasang suami isteri yang juga pengasas produk kosmetik di negeri ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan mencederakan dua peniaga pada Julai tahun lalu.
Pengasas terbabit, Nur Farhana Ismail, 32, dan suaminya, Muhammad Hakimi Mohd. Azmi, 33, serta Anes Ayunie Osman, 21, dan suaminya, Ahmad Weldan Zulkefli, 22.
Turut didakwa atas tuduhan sama adalah pekerja mereka, Muhammad Firdaus Alias, 21.
Sinar Harian melaporkan, semua mereka membuat pengakuan tersebut atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, tangan dan leher serta Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, yang mengalami cedera di tangan, kaki dan lutut sebelah kiri di hadapan sebuah kedai di Jalan Padang Garong di sini pada jam 3 pagi, 9 Julai 2022.
Pada pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.
Pada prosiding itu, Siti Edabayu menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 setiap seorang bagaimanapun Ahmad ‘Adha ‘Amir memohon supaya anak guamnya diberi jaminan yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan kesemua mereja membayar jamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menahan dua wanita pengasas produk kosmetik bagi membantu siasatan kes pukul.
Leave a Reply