Mahkamah dengar rayuan bekas pembantu Anwar 7 April

MAHKAMAH Rayuan akan mendengar rayuan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan tuntutan balas terhadap dakwaan salah laku seksual pada 7 April ini.

Mahkamah itu juga akan mendengar rayuan Yusoff Rawther terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk membuang beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan presiden PKR itu.

Peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar berkata, tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Zuhrina Mohamed Nor hari ini.

“Pihak-pihak itu telah diarah memfailkan hujahan bertulis mereka menjelang 9 Mac. Prosiding akan dijalankan dalam talian,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Pesuruhjaya Kehakiman, Johan Lee dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Sept tahun lalu berkata, permohonan Yusoff tanpa merit dan saman itu perlu dibicarakan dalam perbicaraan penuh.

Ia berhubung saman difailkan Yusoff terhadap Anwar pada 14 Julai 2021 yang mendakwa serangan seksual oleh bekas majikannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Okt 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

Dakwanya, akibat kejadian itu, dia dituduh merancang untuk menjatuhkan Anwar dan merosakkan kerjaya politiknya dan ini menjejaskan kesihatan mentalnya.

Dia menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Yusoff memfailkan satu permohonan pada Disember 2021 untuk mengeluarkan beberapa perenggan dalam pembelaan Anwar yang didakwanya tidak relevan dengan saman itu.

Katanya, tuntutan balas Anwar bersifat spekulatif, kabur dan tidak mempunyai kejelasan serta butiran.

Beliau berkata, tuntutan balas itu tidak mengenal pasti sebarang punca tindakan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *