MALAYSIA tidak mendiskriminasi mana-mana negara dalam menjalankan pemeriksaan COVID-19 terhadap pelancong yang tiba di negara ini, namun mahu memastikan kesihatan rakyat adalah keutamaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kawalan di pintu masuk negara oleh Jabatan Imigresen juga diperketatkan bagi memantau kemasukan rakyat asing ke Malaysia.
“Kalau kita lihat umpamanya kadar jangkitan (COVID-19) di China yang diuar-uarkan, ia tinggi dan kita juga tahu kadar kematian di Amerika Syarikat akibat COVID-19 juga tinggi, dan begitu juga beberapa negara lain.
“Jadi kita ambil tindakan untuk menyelamatkan rakyat kita, jadi sesiapa sahaja yang masuk (ke Malaysia) harus dipantau dan dikenakan syarat yang sama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Anwar berkata dalam mesyuarat hari ini Jemaah Menteri juga berpendapat urusan pelancongan mahupun ekonomi tidak boleh mengatasi kepentingan negara dalam mengawal jangkitan sebarang wabak terhadap rakyat termasuk COVID-19.
Menurut Perdana Menteri laporan media yang dikeluarkan berkaitan pelancong China juga berbeza dengan fakta sebenar yang berlaku, serta tidak memberi kesan kepada kadar jangkitan di negara ini.
“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution) berikan jumlah pelawat dari China umpamanya untuk 2022 adalah 336,000 orang dengan majoriti besar adalah pelancong, dan tidak beri kesan sebagaimana yang digembar-gemburkan.
“Disember sahaja pelawat China adalah 53,000 orang, jadi kita tak melihat lonjakan jangkitan yang mengaitkan mana-mana negara,” katanya yang turut menjelaskan angka itu tidak bermakna Malaysia memberi kelonggaran kepada mana-mana negara untuk masuk ke Malaysia.
Penghujung tahun lepas, China melaporkan berlaku lonjakan kes COVID-19 berikutan varian Omicron yang merebak dengan pantas, dan beberapa negara mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan pengembara dari China ke negara mereka sebagai langkah menghalang penularan wabak itu.
Anwar seterusnya menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin penggalak COVID-19 memandangkan hanya 49 peratus rakyat sahaja yang telah mendapatkan dos itu, selain bekalan vaksin juga masih banyak iaitu sekitar enam juta dos.
Anwar berkata disebabkan dos penggalak tidak mendapat sambutan seperti dos pertama dan kedua, banyak bekalan itu sebelum ini sudah dilupuskan.
“Jadi saya usulkan mula dengan wartawan yang belum ambil booster (penggalak) pertama untuk ambil, kerana jangkitan ini ikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan belum menentu, belum tamat.
“Kalau yang dah ambil dos pertama, dos kedua, booster itu kena ada, kerana vaksin ini masih ada. Jadi untuk bulan Januari ini semua wartawan dikehendaki ambil booster kemudian disusuli dengan rakyat lain kerana kalau wartawan beri contoh teladan yang baik, itu akan diikuti oleh rakyat,” katanya.
Malah Perdana Menteri turut menjelaskan beliau juga telah mendapatkan dos penggalak COVID-19.
“Saya sudah (ambil dos penggalak). Alhamdulillah. Saya boleh tunjuk saya punya MySejahtera,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada beliau telah mendapatkan dos penggalak itu. – BERNAMA
Leave a Reply