SEBANYAK 2,016 saman dan 146 buah kenderaan disita polis Pulau Pinang sepanjang Op Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijalankan bermula 30 Disember lalu hingga kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi sama, seramai tujuh individu turut atas pelbagai kesalahan antaranya memandu dalam keadaan mabuk, menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesalahan dadah.
Jelas beliau, Op Ambang Tahun Baharu 2023 itu melibatkan seramai 1,294 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang yang memfokuskan kepada pencegahan jenayah dan samseng jalanan secara bersepadu dengan kerjasama beberapa agensi lain.
“Operasi ini turut dijalankan bersama agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi sekatan jalan raya bagi mengenal pasti pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
“Operasi ini juga bertujuan memastikan Tahun Baharu 2023 tidak dikotori dengan kegiatan samseng jalanan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.
Sementara itu, tambah beliau, polis Pulau Pinang turut menjalankan operasi pencegahan jenayah di beberapa kawasan tumpuan orang awam dan pengunjung yang mana sejumlah 61 premis pusat hiburan dan sebanyak 5,340 kenderaan telah diperiksa.
“Seramai 6,427 individu juga telah diperiksa dan dijalankan saringan air kencing yang mana seramai 71 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Senjata Api 1971, Akta Racun, Akta Dadah Berbahaya, Akta Pertubuhan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, polis Pulau Pinang akan terus menjalankan operasi-operasi sedemikian bagi memastikan keadaan di negeri itu kekal aman.
Leave a Reply