SAMBUTAN hari lahir bersama cucu menjadi kenangan terakhir buat Lokman Marni apabila dua cucunya maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.
Lokman, 57, berkata Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, hadir majlis hari lahirnya di Sabak Bernam, Selangor pada 26 Dis lepas.
“Itu kali terakhir saya berjumpa dengan mereka. Mereka berkelakuan seperti biasa serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lokman berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu oleh anak perempuannya pada 4 pagi tadi.
Menurutnya dia kemudian bergegas ke lokasi sebelum bertemu anaknya yang berada dalam keadaan tidak bermaya kerana terlalu sedih dengan insiden itu.
“Anak saya sedang sarat mengandung anak ketiga tidak dapat masuk ke dalam rumah…dia cedera di kaki kerana terkena kaca dan kemudian dibawa ambulans ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.
Lokman berkata ketika kejadian, anaknya yang berusia 28 tahun dan suami, 30 tahun, keluar makan kira-kira 3 pagi dan meninggalkan dua anak mereka di dalam rumah.
Katanya, cucu perempuannya mempunyai penyakit asma dan kedua-duanya disifatkan sebagai manja dalam kalangan ahli keluarga.
Dalam kejadian awal pagi tadi, Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak ke lokasi kejadian.
Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.
Leave a Reply