Empat anggota polis ditahan bantu siasatan kes samun, cabul

EMPAT anggota polis di Kelantan masing-masing tiga berpangkat konstabel dan seorang koperal ditahan bagi membantu siasatan kes samun dan cabul di Tanah Merah, Rabu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua suspek yang berusia 22 hingga 28 tahun itu ditahan oleh pasukannya pada 29 Dis lepas dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pada 28 Dis lalu, lebih kurang pukul 11.24 malam, polis Daerah Tanah Merah telah terima satu laporan polis berkaitan kes samun dan cabul melibatkan suspek anggota polis. 

Saya mengesahkan perkara tersebut dan pada 29 Dis pihak polis telah menjalankan tangkapan ke atas semua suspek yang akan direman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 395/354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhamad Zaki berkata ujian saringan air kencing kesemua suspek juga didapati negatif dadah. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *