[VIDEO]300 motosikal konvoi ke Langkawi ‘masuk pukat’ polis

Oleh BADLISHAH MAT

KIRA-kira 300 buah motosikal yang memasuki Pulau Langkawi secara berkonvoi sempena cuti umum sambutan tahun baharu 2023 diperiksa pihak berkuasa, semalam.

Hasilnya, sebanyak 164 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan oleh polis termasuk tidak mempunyai lesen dan mengubah suai kenderaan.

Secara keseluruhannya 300 motosikal diperiksa pihaknya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi itu. – Foto PDRM

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, operasi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu dilaksanakan selama 12 jam bermula pukul 9 pagi di Dermaga Tanjung Lembung, Bayas.

“Saman tertinggi dikeluarkan atas kesalahan nombor pendaftaran iaitu sebanyak 70 saman dan 38 saman lagi berkaitan cermin sisi.

“Saman melibatkan ubah suai kenderaan pula sebanyak 29 keping yang dikeluarkan sepanjang operasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi itu melibatkan seorang pegawai dan 12 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Shariman berkata, polis turut mengeluarkan saman kerana kesalahan tidak mempunyai lesen, mengubah suai ekzos, tidak mempamerkan Lesen Belajar Memandu (LDL) atau ‘Lesen L’ pada kenderaan dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.

Katanya, JPJ pula mengeluarkan 42 saman dan 55 notis bagi pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan oleh dua pegawai dan 11 anggota jabatan itu dalam operasi terbabit.

Dalam pada itu, Shariman berkata, polis akan mengadakan pemantauan tambahan bagi memastikan keselamatan pengunjung di sekitar Langkawi sempena sambutan Tahun Baharu 2023 tengah malam nanti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *