POLIS menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 13 tahun di Batu Kikir, Jempol semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 34 tahun ditahan pada pukul 5 petang semalam.
Menurutnya, polis menerima laporan mangsa yang mendakwa dirogol suspek pada pukul 10 malam 10 Disember lalu.
“Ketika itu mangsa berada di rumah di Batu Kikir dan sedang tidur di ruang tamu sebelum dirogol suspek.
“Selepas kejadian itu mangsa menceritakan kejadian kepada kakaknya sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Chang Hook berkata, mangsa turut mendakwa mula dirogol suspek sejak tahun 2021 dan kali terakhir pada 10 Disember lalu.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
“Mangsa ketika ini diletakkan dibawah jagaan neneknya sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM ) mendapat kelulusan bagi permohonan perlindungan interim (IPO) terhadapnya.
Leave a Reply