Bendang rosak, pesawah terkesan punca rezeki terjejas akibat banjir

AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap kerajaan gabungan PH-BN yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu golongan pesawah di Sungai Hala, di Machang, yang terkesan akibat banjir besar minggu lalu.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu berkata, kerosakan infra sekitar sawah padi dan perkampungan pesawah itu juga cukup teruk di mana jalan yang rosak akibat hentaman air banjir yang deras menyukarkan para pesawah dan keluarga mereka untuk keluar masuk kawasan.

“Musnah. Itulah keadaan kawasan bendang yang terdapat di Sg. Hala, Machang angkara banjir besar yang berlaku minggu lalu. Berekar-ekar bendang rosak dan langsung tidak boleh diselamatkan lagi. Kerugian beribu-ribu ringgit buat setiap pesawah yang terkesan dan ini menjejaskan punca rezeki mereka untuk 6 bulan akan datang.

“Saya bersama YB Ustaz Roseli, ADUN Kemuning mendapat taklimat dan pandangan daripada beberapa pesawah-pesawah di sana. Karenah birokrasi melambatkan bantuan yang dipohon melalui borang yang diberikan Jabatan Pertanian. Saya akan bertemu dengan mereka untuk dapatkan penjelasan lanjut nanti.

“Harapnya RM60 juta yang YAB Perdana Menteri perolehi daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary boleh disalurkan kepada golongan pesawah yang terkesan sebegini cuma kita masih tidak tahu ke mana wang itu akan disalurkan dan bagaimana pesawah dapat memohonnya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Bersatu.

Wan Ahmad Fayhsal juga turut menyuarakan mengenai jambatan yang baru dibina belum siap dan sempurna untuk menampung kenderaan berat.

“Semua ini di bawah tanggungjawab JPS Machang. Saya akan berurusan dengan mereka nanti.

“Saya budak baru belajar. Dan saya akan terus belajar memahami denyut nadi para petani dan pesawah di Machang agar suara, harapan mereka dan penyelesaian memajukan sektor ini dapat saya utarakan dalam parlimen sewaktu perbahasan titah diraja dan Belanjawan 2023 nanti,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *