Petugas taman hidupan liar maut diserang gajah

SEORANG petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi, di Kota Kinabalu Sabah meninggal dunia selepas diserang gajah pygmy, hari ini.

Difahamkan gajah berkenaan menyerang bahagian perut mangsa berusia 50-an itu dengan kepalanya beberapa kali dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi.

Ia menyebabkan mangsa cedera bahagian perut sebelum difahamkan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Lapor Berita Harian, kejadian turut disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin yang dihubungi sebentar tadi.

Jafry berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada jabatan berkaitan berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

“Saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan ketika ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi, memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan sebarang perkembangan berhubung kejadian akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *