TOK Chey tengok komen-komen netizen di laman sosial menghentam Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli susulan kenyataannya yang mengusulkan cadangan supaya rakyat Malaysia mengurangkan makan ayam jika ayam mahal.
Walaupun dalam video penerangan itu Rafizi menerangkan panjang lebar mengenai permintaan dan penawaran, orang ramai tidak dapat menerima apa yang diungkapkan oleh Rafizi kerana ia bukanlah cadangan yang bernas.
Jika rakyat diminta untuk mengurangkan makan ayam, apakah makanan lain yang boleh menjadi pilihan rakyat kerana dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, semuanya kini sudah menjadi mahal.
Adakah rakyat perlu beralih makan daging lembu, kambing atau makanan laut seperti ikan, udang sotong yang harganya lebih mahal di pasaran?
Paling membuatkan orang ramai geram ialah sebelum ini ketika menjadi pembangkang, Rafizi aktif menghentam kerajaan kerana gagal mengawal harga barang dan dia juga terkenal dengan pelbagai formula yang didakwa lebih berkesan berbanding cara kerajaan ketika itu menguruskannya.
Berdasarkan apa yang telah dicadangkan Rafizi itu, ramai melihat dia hanya pandai berkata-kata ketika menjadi pembangkang, tetapi apabila diberikan peluang menjadi menteri dalam kabinet, Ahli Parlimen Pandan itu tidaklah sehebat mana pun.
Walaupun geram juga dengan kenyataan Rafizi itu, Tok Chey masih mengambil sikap tunggu dan lihat serta masih memberi peluang kepada Rafizi untuk menunjukkan keupayaannya menyelesaikan isu harga barangan makanan ketika ini.
Tok Chey mahu tunggu dalam tempoh 100 hari ini untuk melihat bagaimana Rafizi menguruskan isu ekonomi negara kerana pada masa sekarang bukan sahaja isu ayam yang dibangkitkan, tetapi masalah telur juga masih menjadi topik hangat dibincangkan rakyat.
Contohnya ketika awal-awal dilantik menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyatakan yang Mat Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih rendah pada hari Selasa, tetapi sehingga kini sudah nak masuk tiga kali Selasa, harga telur ayam masih tidak berubah.
Tindakan yang dibuat kerajaan untuk mengatasi masalah bekalan ialah dengan mengimport telur ayam dari India tetapi harga yang dijual lebih mahal daripada telur ayam tempatan.
Maka, tindakan itu turut menimbulkan tanda tanya sejauh mana keupayaan Mat Sabu dalam menyelesaikan isu telur ayam yang mana semasa Presiden Amanah itu menjadi pembangkang, dia juga lantang mengkritik kerajaan dari pelbagai sudut.
Belum reda dengan isu ayam dan telur, timbul pula kenyataan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub yang berkata bahawa pangkalan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digunakan sebagai salah satu elemen pemberian subsidi RON95 secara bersasar kerana kerajaan dapat mengenal pasti kuasa kuda kenderaan.
Kenyataan itu turut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai kerana jika ia tidak diteliti ia akan menyebabkan golongan tertentu akan menjadi mangsa dan tidak dapat menggunakan minyak subsidi RON95.
Ini kerana ada sesetengah pengguna terutamanya golongan bawahan dan pertengahan yang masih menggunakan kenderaan lama yang kuasa kuda kenderaan kebanyakannya melebihi 2,000 cc.
Pada masa sama, terdapat kereta mewah yang berkuasa kuda rendah dan orang ramai bimbang jika pemilihan subsidi bersasar ditentukan berdasarkan kuasa kuda kenderaan, golongan sedia ada terbeban akan terus tersepit manakala ada segelintir yang kaya pula mendapat manfaat.
Adalah lebih baik pelaksanaan subsidi bersasar diteliti dengan sedalam-dalamnya sebelum sebarang pengumuman dibuat kerana ia akan menimbulkan banyak persoalan seterusnya menyebabkan keresahan kepada rakyat.
Menteri-menteri pula perlu lebih cermat dalam membuat sebarang kenyataan kerana mereka bukan lagi berada di blok pembangkang yang sememangnya lebih mudah untuk berkata-kata dan membangkang.
Leave a Reply